Kesihatan Optimum – Apa Rahsianya?


Mengikut Dr. Abdul Aziz, pakar fisiologi saraf, ada 4 perkara penting untuk mendapatkan kesihatan optimum – pemakanan, senaman, rehat dan sikap mental.
Pemakanan – semua orang tahu yang kita kena makan makanan seimbang agar kita mendapat nutrien yang diperlukan. Sekiranya nutrien yang diperolehi dari makanan tidak mencukupi, Dr. Abdul Aziz menyarankan kita mengambil pemakanan tambahan atau suplemen. Kita tahu yang kekurangan nutrien yang diperlukan tubuh akan mengundang pelbagai penyakit. Namun, kerana sibuk bekerja, ramai di antara kita kata tak pa lah. Kita ingin percayai yang kita akan OK, tak akan dapat penyakit kritikal macam orang lain.
Dulu saya berkeberatan untuk mengambil suplemen walaupun saya tahu saya tidak mendapat cukup nutrien dari makanan seharian. Pada masa itu perkara lain lebih bernilai dari menjaga kesihatan. Namun apabila keutamaan saya sudah berubah, mengambil suplemen tidak lagi menjadi beban kepada saya.
Bersenam? Sama juga, tiada rahsia – semua orang tahu bersenam tu perlu untuk menjamin kesihatan kita. Semua orang percaya senaman tu baik untuk kesihatan. Senaman boleh mengekalkan kesihatan jantung, organ tubuh kita yang terpenting. Tapi kenapa kita tidak mempunyai komitmen untuk bersenam. Mari kita renungkan bersama kenapa kita MALAS bersenam. Tanya KENAPA sekurang-kurangnya 5 kali dan lihat apa yang timbul. Kemudian buatlah keputusan, nak bersenam atau tidak. Jika sudi, kongsilah dengan para pembaca apa yang diperolehi dari muhasabah tersebut.
Yang ketiga kata Dr. Abdul Aziz ialah rehat yang cukup. Ini pun semua orang tahu – bukan rahsia. Kita kena tidur secukupnya, tapi kadang-kadang (lebih ke arah selalu), siaran TV seperti Liga Perdana Inggeris lebih penting dari tidur. Melayari Internet lebih penting dari tidur. Tidur boleh MEMULIHKAN OTAK. Saya pun kadang-kadang terfikir, mana lagi penting – memulihkan otak atau terujakan diri dengan siaran langsung Liga Perdana Inggeris.
Perkara keempat – sikap mental. Kata Dr. Abdul Aziz lagi, ada kaitan antara tindakbalas tubuh kita dengan fikiran kita. Kalau kita mengambil sesuatu sebagai masalah, kita akan stres. Stres akan membawa kepada tekanan darah tinggi. Saudara/ri tentu pernah dengar cerita atau pernah sendiri alami, seseorang yang sihat akan demam bila beberapa orang rakan mengatakan beliau nampak demam dan beliau percaya dengan kata-kata rakan-rakan tersebut.
Hanya sekadar perkongsian untuk renungan kita bersama.

Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...